Antara motosikal yang musnah terbakar dalam kejadian di PPR Muhibbah, Bukit Jalil

BUKIT JALIL – Sebanyak 34 buah motosikal pelbagai jenis yang diletakkan di kawasan parkir motor PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini, musnah dalam satu insiden kebakaran pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan lebih kurang 2.21 pagi tadi mengenai kebakaran motosikal di bawah Blok G, Projek Perumahan Rakyat itu.

Tambah Muhammad Idzam, kesemua motosikal musnah dalam kebakaran kerana kedudukan motosikal terlalu rapat antara motosikal yang lain.

“Polis dengan bantuan Forensik Bomba daripada Balai Bomba Sri Rampai telah
menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan memandangkan terdapat unsur khianat dalam kejadian ini, dan usaha juga diteruskan untuk mengesan suspek yang melakukan perbuatan itu. – MalaysiaGazette