Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas membuat tinjauan bekalan minyak masak botol dan paket ketika di sebuah pasaraya di sekitar Jalan Temenggong, Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2022.

KLANG – Parti Amanah Negara (Amanah) mahu kerajaan memastikan Kabinetnya benar-benar berfungsi dalam menangani masalah kenaikan harga barang keperluan, terutama minyak masak bersubsidi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Kabinetnya gagal, parti itu akan menggunakan bahasa rakyat sebagai tindak balas.

Tegas beliau, bahasa rakyat yang dimaksudkan ialah mengadakan himpunan secara aman di jalan raya.

“Perkara ini mesti diambil perhatian oleh Perdana Menteri, mesti pastikan Kabinetnya benar-benar berfungsi dan menteri yang berkenaan mesti bertanggungjawab.

“Jika keadaan rakyat masih tertekan dengan kenaikan hampir semua jenis barang keperluan, kita berjanji untuk turun ke jalan raya secara aman.

“Saya yakin kalau bahasa (amaran) ini tidak dipedulikan oleh kerajaan, maka bahasa rakyat sahaja yang mungkin boleh mengajar mereka iaitu kita akan pastikan bahasa rakyat iaitu satu perhimpunan besar secara aman diadakan untuk mengajar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan terjahan mengejut ke beberapa pasar raya borong di sini, hari ini.

Turut bersama, Pengerusi Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang dijadualkan bersama dalam terjahan itu, tidak hadir.

Pasar raya borong kedua yang diterjah Salahuddin mempunyai bekalan minyak masak paket, tetapi jualannya dihadkan tiga paket untuk setiap seorang.

Menurut Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, kerajaan tidak boleh memandang remeh dengan himpunan yang bakal diadakan itu, kerana bahasa rakyat pernah berlaku sebelum ini.

Beliau memberi contoh, pembangkang berupaya mengadakan lima siri himpunan Bersih dengan mengumpul kira-kira setengah juta rakyat di jalan raya secara aman.

Katanya, kerajaan terpaksa menghapuskan Akta ISA juga disebabkan tekanan daripada bahasa rakyat, begitu juga dengan isu 1MDB, rakyat mengajarnya melalui himpunan aman di jalan raya di seluruh negara.

“Jadi, inilah yang kita minta, iaitu janji Perdana Menteri untuk menangani masalah ketiadaan minyak masak paket di pasar, kedai runcit dan pasar raya borong.

“Minyak masak botol sebelum ditarik subsidi dijual pada harga RM18 sebotol, tetapi selepas subsidi ditarik balik, harganya melambung lebih dua kali ganda iaitu RM40 sebotol.

“Bagi minyak masak paket, dalam terjahan kita pagi ini tidak ada, tetapi Perdana Menteri memberi jaminan bekalan mencukupi untuk keperluan dan kegunaan golongan B40,” katanya.

Dalam terjahan itu, Salahuddin sempat bertanyakan kepada suri rumah mengenai minyak masak paket dan ramai antaranya mengeluh kerana bekalan itu tidak ada di pasar raya borong.

“Kita nak beritahu kepada kerajaan, rakyat di bawah sekarang ini dalam kesusahan. Mereka sukar nak mendapatkan bekalan minyak masak paket dan terpaksa beli minyak masak botol yang harganya sangat mahal.

“Selain minyak masak, harga barangan keperluan lain juga tidak terkawal. Ayam dan telur yang diberikan subsidi pun kerajaan tidak boleh dikawal, maka bahasa rakyat yang akan mengajar mereka.

“Tunggulah, kalau mereka tidak bertindak, tidak mempedulikan rintihan rakyat, bahasa rakyat iaitu perhimpunan rakyat secara aman akan mengajar kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette