Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli dan pendukung UMNO diberi amaran supaya berhati-hati dengan usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk memecah-belahkan pemimpin-pemimpin UMNO.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menegaskan hubungan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Najib Razak sangat baik.

Beliau mengulas mengenai laporan media yang mendakwa Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mad berkata, Najib Razak perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal 1MDB, dan bekas perdana menteri itu juga perlu menjalani hukuman sekiranya gagal rayuan terakhir beliau di Mahkamah Persekutuan.

Dalam wawancara bersama Asia Times, Mohamad dilaporkan berkata, Najib gagal membuktikan beliau tidak bersalah, sambil menambah Umno juga gagal “bercakap benar” mengenai skandal 1MDB.

Beliau dilaporkan merujuk kekalahan BN pada pilihan raya umum 2018 disebabkan satu isu iaitu 1MDB.

Bagaimanapun, Tok Mad menafikan membuat kenyataan bahawa Najib patut dipenjarakan dan menegaskan Asia Times mengambil kenyataannya di luar konteks.

”Apa yang saya katakan adalah Najib mesti mendapat perbicaraan adil. Sekiranya, beliau didapati bersalah, barulah beliau kena berdepan hukuman, tapi seperti kita tahu, kesnya belum lagi berakhir, sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan. Tapi, beliau mesti mendapat perbicaraan adil,” tambahnya.

Mengulas lanjut tentang laporan itu, Shamsul Anuar berkata, jangan putar-belit kenyataan Tok Mad. – MalaysiaGazette