Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kejadian bunuh ahli keluarga dan bunuh diri sejak kebelakangan ini sangat membimbangkan, kata mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kejadian seorang suami yang juga bapa mengelar leher isteri dan anak sehingga mati di Johor Bahru dan anak membunuh ibunya hingga maut di Melaka sangat meruntun hati.

“Saya dengan perasaan sedih dan simpati mengucapkan takziah kepada ahli keluarga terbabit.

“Semoga mereka tabah menghadapi kehilangan dan saya berdoa semoga rohnya dirahmati Allah S.W.T,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Menurut Presiden UMNO itu, beliau juga terbaca pelbagai pandangan anggota masyarakat mengenai kejadian berkenaan di media sosial.

Katanya, ada yang berpandangan kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh tekanan hidup dan seumpamanya.

“Namun, kita serahkanlah sepenuhnya kepada polis yang sedang melakukan siasatan.

“Kita yakin insiden itu akan terungkai dalam masa terdekat untuk masyarakat mengetahui punca sebenar,” katanya.

Menurut beliau, punca kejadian mustahak untuk difahami kerana sesuatu perlu dilakukan jika benar disebabkan tekanan hidup.

Malah, ujarnya, beliau pernah mengutarakan kekhuatiran berhubung isu tekanan hidup pasca pandemik Covid-19 sebelum ini.

Ia berikutan banyak insiden bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilaporkan termasuk terjun jambatan dan gantung diri.

Katanya, pandemik telah memberi kesan yang sangat besar kepada sebahagian anggota masyarakat.

“Justeru, saya ketika itu menyarankan kajian mendalam dilakukan pihak berwajib untuk memahami keadaan sebenar.

“Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikannya kerana nyawa setiap insan adalah berharga,” katanya.

Sebelum ini, beliau pernah menyarankan mengenai isu kesihatan mental pasca pandemik seperti melaksanakan Pendidikan Kesihatan Mental secara lebih khusus dan efisien di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Tahap kesihatan mental murid dan pelajar, katanya, perlu diukur dengan kekerapan paling munasabah dari semasa ke semasa untuk melindungi mereka daripada gejala itu.

“Kajian dan semakan secara mendalam perlu dilakukan oleh pihak berwajib kerana dikhuatiri keadaan semakin memburuk jika tiada inisiatif serius dari sekarang.

“Seperti diketahui pelbagai faktor mendorong kepada perbuatan bunuh diri dan kebanyakannya berkait dengan isu kesihatan mental disebabkan tekanan hidup dan sebagainya.

“Dengan itu, suatu mekanisme lebih efektif dan mudah akses perlu diwujudkan untuk membantu orang ramai mengenal pasti tahap kesihatan mental mereka, sekali gus mendapatkan bantuan jika perlu,” katanya. – MalaysiaGazette