Mohd Hasbie Muda

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa dalam keadaan buntu untuk menyelesaikan isu kenaikan harga barang keperluan dan subsidi sehingga mempelawa pihak pembangkang bersamanya mencari jalan penyelesaian.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Hasbie Muda berkata, hanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dapat mengatasi masalah itu dengan melaksanakan program subsidi secara telus sehingga berjaya mengawal harga barangan asas.

Bagaimanapun, katanya, apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar minta bertemu dengan pembangkang dari PH untuk mencari jalan penyelesaian, jelas kerajaan sekarang telah buntu idea.

“Kejayaan PH yang memerintah dari Mei 2018 hingga Februari 2020 telah terbukti berjaya mengawal harga barangan asas khususnya ketika musim perayaan.

“Hari ini, ketirisan wang rakyat jelas berlaku apabila berbilion peruntukan subsidi disediakan, tetapi masih gagal mengawal harga barangan asas rakyat.

“Ini menunjukkan selama ini kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri telah buntu idea untuk menyelesaikan isu yang telah berlaku sejak awal tahun ini lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, Annuar mempelawa pihak yang mengetuai demo bantahan kenaikan harga barang bertemunya bagi mencari penyelesaian kepada krisis inflasi negara.

Beliau yang mengetuai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu menangani cabaran peningkatan kos sara hidup berkata, melalui pertemuan itu, mereka boleh memberikan idea menarik untuk dipertimbangkan bagi menyelesaikan krisis yang berlaku.

Mengulas lanjut, Hasbie mempersoalkan adakah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu ada idea baharu dan melakukan sesuatu yang lebih berkesan?

Sedangkan, katanya, ahli yang dilibatkan sebagai jawatankuasa adalah Menteri-menteri yang telah gagal berfungsi dengan cekap pada peringkat kementerian masing-masing.

“Ini yang dikatakan dalam peribahasa Melayu perangai bodoh sombong, Pemuda Amanah Mei lalu telah mencadangkan agar dijalankan suatu sidang khas Dewan Rakyat untuk membincangkan secara tuntas isu harga barangan asas yang jelas di luar kawalan kerajaan.

“Sidang khas ini wajar untuk semua pihak tanpa mengira pangkat dan parti duduk semeja berbincang.

“Ini membolehkan kerajaan menerima pelbagai cadangan dan komentar daripada Ahli-ahli Parlimen berpengalaman dan mampu berfikir dari pelbagai sudut pandang dan kepakaran,” katanya. – MalaysiaGazette