Muhammad Sanusi Md Nor

BALING – Beberapa kolam takungan air paip masyarakat (tandak takungan) didapati pecah, berkemungkinan menyumbang kepada pembentukan kepala air yang melanda beberapa kawasan di daerah ini, kelmarin.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keadaan itu dikenalpasti selepas tinjauan penduduk kampung ke tandak takungan di Gunung Inas yang membekalkan air masyarakat ke Kampung Carok Kapas dan Kampung Carok Rotan Mas.

“Situasi yang berlaku itu tidak terakam dalam gambar udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia semalam.

“Keadaan ini berlaku disebabkan oleh tandak takungan berkenaan hilang upaya untuk menakung air yang banyak dan laju.

“Takungan pecah seumpama ini akan menyumbang kepada pembentukan kepala air, seterusnya melimpah ke kawasan kaki gunung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Sanusi, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat tandak takungan air masyarakat ke kampung lain juga mengalami situasi yang sama.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor menyifatkan tidak adil untuk menunding jari terhadap pengusaha ladang durian Musang King di Gunung Inas berhubung fenomena kepala air yang berlaku hingga menjejaskan beberapa kawasan sekitar Mukim Kupang.

Jelas beliau, aliran air hujan yang terkumpul di aluran gunung terbabit menjadi penyebab utama kepada kejadian kepala air serta banjir lumpur di 12 kampung berhampiran. – MalaysiaGazette