KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan pelbagai bentuk insentif dengan mengambil kira setiap aspek dan keperluan sebagai tanda sokongan kepada rakyat dan mengamalkan pendekatan berbelanja jangan boros, berjimat jangan sampai ke tahap kedekut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa berhati-hati dan menilai segala bentuk bantuan yang disalurkan mengikut keadaan kewangan negeri ini yang kukuh dan stabil.

Jelasnya, insentif sebanyak RM484,000 kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta guru yang bertanggungjawab terhadap kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disampaikan pada hari ini merupakan bentuk galakan dan sokongan dan penghargaan kepada golongan berkenaan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bentuk sumbangan boleh ditambah pada masa akan datang bergantung kepada kedudukan kewangan dan politik semasa di negeri ini.
“Besar harapan saya agar insentif ini mampu menjadi pemangkin dan rangsangan awal untuk anak-anak lebih bersemangat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Jadikan kejayaan ini sebagai titik tolak dan pemula untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi pada masa hadapan. Semoga pemberian insentif ini juga sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2021 Negeri Pahang tahun 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Majlis itu meraikan 418 pelajar cemerlang dari sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Menengah Agama Negeri dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang akan menerima tunai RM1,000 setiap seorang.
Wan Rosdy berkata, seramai 21 guru subjek Terbaik menerima insentif RM1,000 setiap seorang dan sebanyak 15 PIBG cemerlang pula mendapat ganjaran sebanya RM3,000. – MalaysiaGazette