Kumaraguru didakwa membuat laporan polis palsu dompet miliknya yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM beserta wang tunai RM180 disamun di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada 4 Julai lalu.

JOHOR BAHRU – Dua lelaki yang melakukan kesalahan kerana membuat laporan polis palsu menerima hukuman berbeza selepas kes mereka dibicarakan di mahkamah berasingan di sini hari ini.

Tertuduh, Chin Chen Yee, 44, (gambar bawah) yang juga pengurus sebuah syarikat dikenakan hukuman denda RM800 selain penjara sebulan jika gagal membayar denda terbabit.

Chin Chen Yee

Manakala seorang penganggur, R. Kumaraguru, 31, pula dijatuhkan hukuman penjara lima hari beserta denda RM1,000 dan jika gagal membayarnya akan dikenakan hukuman tiga bulan penjara.

 

Mengikut kertas pertuduhan, Chen Yee didakwa membuat laporan polis palsu menyatakan beg silang miliknya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan wang tunai RM500 diragut dua lelaki menaiki motosikal di Taman Sutera Utama pada 3 Julai lalu.

Manakala berdasarkan kertas pertuduhan Kumaraguru pula, dia didakwa membuat laporan polis palsu mendakwa dompet miliknya yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM beserta wang tunai RM180 disamun di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada 4 Julai lalu.

Atas kesalahan tersebut, kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes Chen Yee dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala pendakwaan bagi kes Kumaraguru pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki Danial Munir.

Difahamkan, siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh membuat laporan berkenaan bertujuan untuk mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara kerana kehilangan kad pengenalan.- MalaysiaGazette