Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim (tengah) menunjukkan barang rampasan dadah selepas kejayaan anggota polis dalam menumpaskan sendiket pengedaran dadah serta rampasan sepucuk pistol pistol bernilai RM 1.06 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah di sekitar Lembah Klang tumpas dengan tertangkapnya empat ahlinya dalam tiga serbuan berasingan di ibu negara dan Selangor pada Selasa dan semalam.

Penahanan keempat-empat ahli kongsi gelap Geng 24 dan Geng 36 dalam Operasi Katia itu membawa kepada rampasan bernilai RM1.06 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam serbuan pertama pada jam 6.30 petang 5 Julai lalu di kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominium di Jalan Bukit Segambut, polis menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 26 tahun dan merampas 3,000 biji pil ekstasi bernilai RM60,000 dan wang tunai berjumlah RM500 disyaki hasil kegiatan tersebut.

“Hasil soal siasat ke atas suspek pertama itu, polis telah melakukan serbuan kedua di sebuah kawasan letak kereta di sebuah kompleks beli belah di Dutamas di ibu negara sebelum berjaya memberkas suspek kedua juga seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama sebuah kereta miliknya.

“Pemeriksaan lanjut ke dalam kereta suspek polis berjaya menjumpai 10.14 kilogram dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM25,350 (harga pasaran RM2,500 sekilo),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Operasi Katia yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kuala Lumpur.

Tambah beliau, susulan daripada dua tangkapan itu, polis seterusnya melakukan serbuan ketiga di sebuah kondominium di Ampang, Selangor dan menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 31 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dilakukan di dalam unit kediaman kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan dadah jenis ganja seberat 142.02 kilogram bernilai RM355,050, syabu seberat 15.12 kilogram (RM544,320) dan heroin base seberat 785 kilogram (RM71,000) dengan jumlah rampasan sebanyak RM1.06 juta.

“Siasatan rapi ke atas kedua-dua suspek polis turut berjaya menjumpai sepucuk pistol jenis revolver bersama sembilan butir peluru hidup dalam sebuah bilik di rumah tersebut,” ujarnya sambil menambah dua daripada suspek positif ganja.

Azmi berkata, semakan ke atas keempat-empat individu itu mendapati tiga daripadanya mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pergaduhan manakala dua lagi mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, sindiket itu aktif dalam kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah sejak lima bulan lalu dengan menjadikan kondominium yang disewa sebagai markas penyimpanan dadah.

Katanya, jumlah rampasan keseluruhan dadah itu mampu menampung penggunaan 300,000 orang penagih dadah.

Azmi berkata, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjatapi. – MalaysiaGazette