KUALA LUMPUR, – Skuad negara gagal meneruskan momentum kemenangan pada Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) apabila terikat tanpa jaringan berdepan Singapura pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Madya, Jakarta, Indonesia petang ini.

Ketua Jurulatih Skuad Harimau Muda, Hassan Sazali Mohd Waras bagaimanapun tetap positif dengan keputusan itu kerana anak buahnya berjaya meraih satu mata berharga dalam memburu tempat ke separuh akhir.

“Singapura lebih teratur di bahagian pertahanan dan mereka tidak beri ruang yang besar buat pasukan kita, terutamanya jentera serangan. Kemasukan dua penyerang pada awal babak kedua dapat meningkatkan serangan kita, namun masih tidak cukup untuk mencetak jaringan.

“Perlawanan seterusnya kita akan bertemu Timor Leste pada waktu malam, selepas dua aksi pada 3 petang (4 petang waktu Malaysia). Bukan alasan, tetapi cuaca yang agak panas mungkin ada kesan kerana kita nampak separuh masa kedua lebih efektif,” katanya menerusi klip audio yang dikongsikan kepada media.

Selepas aksi menentang Timor Leste pada 8 malam (waktu Malaysia) Sabtu, skuad kendalian Hassan Sazali akan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Laos dalam satu lagi aksi pukul 4 petang (Malaysia) pada Isnin.

Keputusan hari ini menyaksikan Juara 2018, Malaysia menduduki tempat teratas Kumpulan B dengan empat mata selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kemboja pada aksi sulung dua hari lepas.

Laos yang kurang satu aksi, serta Kemboja dan Timor Leste yang berkongsi tiga mata, masing-masing menduduki tempat kedua, ketiga dan keempat berdasarkan perbezaan jaringan setakat ini, manakala Singapura di tempat tercorot dengan satu mata.

Hanya dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke separuh akhir. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast