Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di kawasan selepas Bulatan Bandar Tun Razak berhampiran Taman Tenaga awal pagi ini. Gambar ihsan: JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 40-an maut selepas kereta yang dipandu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain dan motosikal di Bulatan Bandar Tun Razak berhampiran Taman Tenaga di sini awal pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.37 pagi dan menghantar pasukan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Helmy Effendy Jamaludin memberitahu, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak digegaskan untuk membantu mangsa

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton X70, kereta Porsche dan motosikal dan membabitkan lima mangsa.

“Terdapat dua mangsa yang menaiki kereta Porsche iaitu seorang lelaki dan seorang wanita bukan warganegara berusia 30-an parah dan dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menggunakan ambulans HKL.

“Mangsa membabitkan motosikal membabitkan dua lelaki berusia 30-an cedera parah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM dengan menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, pemandu Proton X70 meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh paramedik HKL dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette