Foto: Ismail Sabri Yaakob

ANKARA – Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar sebagai rakan dagang utama Turkiye serta sebagai pintu masuk dan hab perdagangan ASEAN bagi republik itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua negara kini berada dalam pusingan akhir rundingan perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang meliputi bidang baharu seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang.

“Dari segi pelaburan, saya menghargai keyakinan para pelabur Turkiye di Malaysia. Saya juga yakin perluasan MTFTA akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dua hala,” katanya semasa sidang media bersama dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari di Turkiye mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan, diikuti dengan mesyuarat antara delegasi Malaysia dan Turkiye.

Perdana Menteri berkata, beliau memaklumkan kepada pemimpin Turkiye itu bahawa semasa lawatan ini beliau telah mengambil peluang untuk bertemu dengan pemain utama industri kedua-dua negara untuk meneroka dan meningkatkan kerjasama pelaburan.

Pada masa ini, pelaburan utama Malaysıa di Turkıye meliputi sektor kesihatan dan tenaga selain sebagai pengendali operasi lapangan terbang, katanya.

Beliau berkata, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah bukti kejayaan syarikat Malaysia di Turkiye.

Pada pertemuan itu juga, kedua-dua pemimpin turut membincangkan potensi untuk Turkiye meningkatkan import minyak sawit Malaysia.

“Turkiye merupakan hab pembuatan produk berasaskan sawit untuk pasaran benua Eropah dan Asia Tengah,” katanya.

Beliau berkata, Turkiye sedang mempergiat penggunaan biodiesel sebagai bahan bakar dalam sektor pengangkutan manakala Malaysia telah memulakan pengeluaran biodiesel berasaskan minyak sawit yang selaras dengan matlamat menghasilkan sumber tenaga mesra alam.

Mengenai kewangan Islam, Ismail Sabri berkata, beliau dan Erdogan bersetuju supaya Malaysia dan Turkiye menubuhkan perbankan digital Islam untuk meneroka potensi besar republik itu dalam sektor ini.

Pada Selasa, Boustead Holdings Bhd dan Great East Capital (GEC) Turkiye mengumumkan akan menjalinkan kerjasama untuk menubuhkan perbankan digital Islam yang pertama di republik itu bagi meneroka potensi besar Turkiye yang mempunyai kira-kira 85 juta penduduk.

Turkiye adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara dua negara sebanyak RM16.97 bilion (US$4.09 bilion) pada 2021, dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (US$130.91 juta).

Dalam lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. – Bernama