Dr. Sahruddin Jamal

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi lebih gemar “bermain politik” daripada berkhidmat kepada rakyat, kata Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Menyifatkan Ahli Parlimen Rengit itu sebagai seorang yang lapar perhatian, Sahrudin yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor melahirkan kehairanan dengan sikap Puad yang sering mencampuri urusan Bersatu.

“Meskipun bergelar seorang Yang Berhormat apatah lagi telah dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Johor, beliau masih mempunyai masa terluang yang banyak untuk menyerang Bersatu.

“Masa terluang tersebut digunakan oleh beliau sehabisnya untuk meratib nama pimpinan Bersatu menerusi kenyataan-kenyataan jumud dalam media sosialnya.

“Di saat rakyat sedang berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, beliau seharusnya berhenti daripada berkhayal dan kembali menjalankan tanggungjawab hakiki beliau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sahrudin turut menyarankan Puad berhenti daripada mencampuri urusan Bersatu dengan memberikan perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor serta Speaker Dewan Negeri Johor.

“Janganlah ditunjukkan sangat ‘gila bayang’ atau perasaan kemaruk terhadap Bersatu sehinggakan kerap kali melatah dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.

“Dr. Puad Zarkashi perlu menghormati amanah yang telah diberikan oleh rakyat khususnya DUN Rengit dan Bangsa Johor amnya serta tidak mencemari kedudukan sebagai Speaker Dewan Negeri Johor,” tambahnya. – MalaysiaGazette