Zainol (dua dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada pegawainya selepas majlis anugerah Pride Of Workmanship di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.

MELAKA – Kes penipuan jenayah komersial di Melaka meningkat lebih 30 peratus melibatkan kerugian hampir RM18 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding RM15.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, daripada jumlah itu, kes penipuan sindiket Macau Scam mencatatkan jumlah tertinggi dan membimbangkan dengan kerugian lebih RM4.4 juta.

Menurut beliau, statistik pada Januari hingga Jun tahun ini merekodkan sebanyak 793 kes melibatkan kerugian RM17.8 juta berbanding 605 kes tahun lalu, sekaligus menyaksikan peningkatan lebih RM2 juta.

“Daripada jumlah itu, sindiket penipuan Macau Scam menyumbang 320 kes membabitkan pinjaman dan pelaburan tidak wujud serta pembelian atas talian dengan jumlah kerugian RM4.4 juta.

“Jumlah kes itu meningkat lima peratus berbanding 304 kes dalam tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan kerugian lebih RM5.2 juta ringgit,” katanya pada sidang media selepas majlis anugerah Pride Of Workmanship di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini, hari ini.

Zainol Samah

Mengulas lanjut, Zainol berkata, polis Melaka akan terus mempergiatkan kempen kesedaran kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

“Polis Kontinjen Melaka akan lebih kerap turun ke kampung-kampung untuk memberi penerangan kepada masyarakat umum khususnya dalam kes-kes penipuan atas talian ini.

“Kita mahu agar masyarakat luar bandar lebih memahami modus operandi sindiket ini melakukan jenayah tersebut supaya ianya dapat mengekang lebih ramai mangsa Macau Scam ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Polis Melaka berjaya menangkap 536 individu yang terlibat dengan jenayah judi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. – MalaysiaGazette.