Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2022.

HULU SELANGOR – Beberapa perubahan berlaku  daripada segi kiraan dan keputusan rasmi Pemilihan PKR 2022 selepas hasil audit forensik yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Malah ada juga keputusan mengejutkan, ada yang kekal seperti sediakala dan ada juga berlaku pengurangan undi.

Bagaimanapun berbeza dengan keputusan bagi Cabang PKR Hulu Selangor yang mana penyandangnya juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad dicabar oleh muka baharu, Dr Sathia Prakash Nadarajan serta seorang lagi calon.

Pada keputusan awal, Dr Sathia yang juga pangasas rangkaian klinik terkenal, Kumpulan SP Care berjaya mengalahkan June dengan lebihan undian sebanyak 100 undi pada kiraan awal.

Namun selepas audit forensik undian muktamad menunjukkan Dr Sathia masih lagi menang jawatan Ketua Cabang Hulu Selangor tetapi dengan majoriti lebih tinggi iaitu 300 undi.

Dalam pengumuman audit forensik,  June mendapat 1,518 manakala Dr Sathia 1,807 undian.

June Leow

Manakala Datuk Azizan yang juga bertanding bagi jawatan yang sama hanya berjaya meraih 146 undian.

Difahamkan ada beberapa siri bantahan telah dihantar sebelum audit forensik oleh pasukan June namun keputusan tetap berpihak kepada Dr Sathia yang buat julung kali bertanding dan menang mengalahkan June yang sudah menang tiga penggal berturut-turut.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette turut difahamkan walaupun keputusan rasmi sudah dimuktamadkan di laman sesawang PKR sejak Isnin lepas namun tarikh penyerahan watikah secara rasmi belum dapat dipastikan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP), Dr Zaliha Mustafa sudah memberikan bayangan keputusan tidak rasmi pemilihan mungkin berubah apabila laporan akhir audit forensik diumumkan dalam masa dua hari lagi.

Katanya, keputusan audit forensik itu terpaksa ditangguhkan dari tarikh keputusan sebenar beberapa kali selepas pakar meminta tambahan masa untuk menyiapkan laporan siasatan mereka.

Awal bulan lepas, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa audit forensik dipercepatkan bagi membolehkan notis memanggil Kongres Nasional dapat dikeluarkan mengikut masa ditetapkan dengan peraturan perlembagaan parti.

Langkah mempercepatkan audit forensik itu juga perlu bagi membolehkan PKR mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Banyak cabaran diharungi Dr. Sathia bertanding ketua cabang PKR

Pemilihan PKR cabang Hulu Selangor seakan pilihan raya kecil