Tenaga Nasiona Berhad

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memandang serius dakwaan tukang kayu, Ang Siang Ping bahawa maklumat peribadinya telah digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi perjanjian penyewaan dua premis menyebabkan beliau menanggung hutang hampir RM500,000 dengan syarikat utiliti itu.

Menurut TNB, pihaknya berusaha untuk menambahbaik serta memperkemaskan lagi proses pendaftaran akaun supaya perkara tidak berulang.

“Orang awam, terutamanya yang pernah kehilangan dokumen identiti mereka dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak utiliti, bank, insuran atau agensi-agensi perkhidmatan yang lain bagi memastikan identiti mereka tidak disalah guna untuk pembukaan akaun di syarikat-syarikat tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 22 Jun lalu, MalaysiaGazette melaporkan Siang Ping yang percaya identitinya digunakan pihak ketiga susulan kehilangan kad pengenalan pada Januari 2017 turut didakwa telah mengubah suai meter untuk aktiviti perlombongan mata wang kripto iaitu Bitcoin.

Beliau menyedari mengenai masalah itu selepas tidak dapat mengeluarkan wang di bank pada Februari tahun lalu dan dimaklumkan akaun bank telah dibekukan berikutan terdapat kes sivil yang difailkan terhadapnya.

Menurut kenyataan itu, TNB sedang menyiasat kes mencuri dan manipulasi identiti Siang Ping yang berlaku di Bukit Mertajam.

Katanya, TNB akan mendapatkan penyelesaian terbaik bagi pengguna sekiranya terbukti pengguna itu menjadi mangsa pihak ketiga yang menyalahgunakan dokumennya.

“Selain itu, pelanggan TNB juga boleh menggunakan myTNB app dan portal untuk menyemak akaun-akaun yang didaftar menggunakan nombor kad pengenalan mereka.

“Sekiranya terdapat akaun yang meragukan tersenarai di myTNB mereka, pengguna dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB,” ujarnya.

Untuk sebarang pertanyaan lain berkaitan akaun, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, Facebook TNB Careline atau Twitter@Tenaga_Nasional. – MalaysiaGazette

Tanggung hutang RM500,000 selepas maklumat peribadi kena curi