Anggota bomba meletakkan warga emas yang lumpuh di atas pengusung untuk dibawa turun dari Bukit Wasasan bagi mendapatkan rawatan. Gambar ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas mengalami lumpuh separuh badan ketika sedang beriadah berseorangan di Bukit Wawasan, Puchong dekat sini pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan, lelaki berusia 61 tahun itu tiba-tiba lumpuh di bahagian kiri badan ketika mendaki bukit tersebut.

Bomba menerima panggilan daripada orang awam yang meminta bantuan pukul 7.31 pagi dan tiba di lokasi enam minit selepas itu.

Ketika pasukan penyelamat tiba, warga emas terbabit didapati berada dalam keadaan sedar dan boleh bertutur namun sukar bergerak.

Dia kemudiannya dibawa turun bagi mendapatkan rawatan dari bukit berkenaan menggunakan pengusung. – MalaysiaGazette