KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan sebagai Pengarah Ekonomi bukan untuk menjadi kepercayaan Perdana Menteri.
Sebaliknya tegas Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, pelantikan itu adalah untuk membantu Perdana Menteri mempertimbangkan keputusan penting mengenai ekonomi negara.
Justeru, katanya, Ketua Penerangan Parti Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli tidak perlu mendesak Shahril meletak jawatannya hanya kerana mengeluarkan kenyataan menegur kepimpinan parti itu.
“Sebagai contoh, untuk perkara yang baik kepada rakyat seperti menaikkan gaji minimum kepada RM1,500, Shahril antara orang yang menasihati Perdana Menteri.
“Janganlah cemburu dengan kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri kepada Hamdan. Dia antara anak muda dalam UMNO yang berkelulusan Ekonomi dari University of Manchester tajaan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Dia juga berjaya memperoleh ijazah Sarjana dalam bidang Etnik Kaum dan Kajian Pasca-kolonial di London School of Economics and Political Science dengan biasiswa penuh dari Chevening, Jabatan Luar dan Komanwel British,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Khairul Anuar yang mendesak Shahril selaku Penasihat Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri agar meletakkan jawatan dengan segera kerana sudah tidak dipercayai.
Ini susulan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa masih ada perkara yang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum cukup percaya untuk berkongsi maklumat dengan Shahril, berhubung perjanjian ditandatanganinya dengan Perikatan Nasional (PN), sebelum dilantik sebagai perdana menteri.
Menurut Syed Mohd Johan Rizal, Shahril membuat kenyataan agar lebih baik wang kerajaan diagihkan untuk membantu rakyat, tetapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut Ismail Sabri melantik Timbalan Perdana Menteri dari parti itu dan beberapa jawatan lain dalam kerajaan.
“Bukankah ini juga akan menambahkan gaji yang dibayar? Bukankah lebih elok gaji itu diagihkan kepada rakyat?
“Ketua Penerangan Bersatu Kedah sebenarnya bodoh sebab masih merasakan dalam keadaan inflasi dan kos sara hidup meningkat, jawatan lebih penting dari memberi penyelesaian kepada kerajaan.
“Bagaimanapun, kita tidak hairan sebab pParti Bersatu terkenal dengan gila jawatan dan ‘Scheme of things’ mereka,” ujarnya.
Beliau memberi amaran kepada Khairul Anuar agar tidak perlu menjadi ejen pemecah belah UMNO.
Sebaliknya, meminta beliau menjaga parti sendiri.
“Yakinkah Bersatu ada sokongan di Kedah? Saya tidak hairan jika lepas PRU15, Bersatu tidak akan ada sebarang kerusi di Kedah dan Shahril akan terus melaksanakan tugasnya sebagai Ketua Penerangan UMNO dan Pengarah Ekonomi Perdana Menteri.
“Yang patut didesak letak jawatan adalah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang terbukti gagal dan MPN pula perlu dibubarkan daripada terus membazirkan wang negara sehingga Perdana Menteri terpaksa menubuhkan jawatankuasa jihad melawan inflasi,” tegasnya. – MalaysiaGazette