Tiga orang maut manakala empat parah selepas dua kenderaan bertembhung dalam kemalangan maut di SKVE Pulau Carey Pelabuhan Klang tengah malam tadi.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Tiga orang maut dan empat lagi parah dalam kemalangan maut membabitkan dua kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)-Pulau Carey Pelabuhan Klang Selangor malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridzwan Mohd Nor@Salleh berkata, kemalangan ini dipercayai berlaku semasa Toyota Unser dari arah Telok Panglima Garang menghala ke Pulau Indah bertembung dengan Honda CRV dari arah bertentangan (dari arah Pulau Indah menghala ke Telok Panglima Garang).

Akibat pertembungan itu, motorkar jenis Honda CRV itu terbalik dan masuk ke laluan bertentangan.

Semua penumpang Toyota Unser seramai enam orang warga asing yang tersepit di dalam kereta itu telah berjaya dikeluarkan oleh pihak Bomba.

Tiga penumpang Toyota Unser yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 45.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Pulau Carey Pelabuhan Klang Selangor.

Bagaimanapun, seorang penumpang hadapan dan dua orang penumpang belakang Toyota Unser itu telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu dan tiga penumpang dalam Toyota Unser mengalami cedera parah telah dikejarkan ke Hospital HTAR Klang bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan jam lebih kurang 10.42 malam tadi memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.

“Sejurus tiba di tempat kemalangan lapan minit kemudian, siastan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser yang dinaiki oleh enam orang lelaki warga asing dan sebuah Honda CRV dipandu seorang lelaki warga tempatan disyaki telah bertembung,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Tambah Norazam, tiga daripada enam orang warga Bangladesh yang menaiki Toyota Unser telah meninggal dunia di lokasi kemalangan itu akibat kecederaan teruk.

Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan jam12.16 tengah malam tadi.

Pemandu CRV yang tercedera turut dirawat di hospital. Ihsan Bomba Selangor

Pemandu motorkar jenis Honda CRV pula mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital HTAR, Klang.

Kes telah disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini bolehlah menghubungi mana-mana Balai Polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian (H/P: 017-3012621@ Tel: 03-31872222).  MalaysiaGazette