PETALING JAYA – Empat lelaki warga Nigeria, Afrika Selatan yang disyaki terlibat dalam penipuan ‘parcel scam’ yang terhadap seorang warga emas dicekup polis Rabu lalu.
Penipuan itu menyebabkan mangsa kerugian RM64,000.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang berusia 62 tahun itu telah ditipu selepas berkenalan dengan seorang wanita warga Berlin, pada Mac lalu melalui Facebook.
“Mangsa yang merupakan pesara juga komunikasi secara berterusan berterusan dengan wanita itu melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.
“Sepanjang tempoh berkenalan yang singkat dengan wanita Berlin itu, pengadu memberitahu suspek akan menghantar beberapa barang seperti komputer riba, jam tangan digital, rantai emas, jersi Manchester United dan wang tunai Euro 20,000 sebagai hadiah kepadanya.
“Pada jam 8.33 pagi 21 Mac lalu, pengadu mendakwa dia menerima mesej daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Patrick dari syarikat penghantar menyatakan barang dihantar sudah tiba di Malaysia dan meminta pengadu membayar RM1,750 sebagai kos proses penghantaran serta beberapa kos lain.
“Pengadu yang terpedaya dengan kata-kata individu itu kemudian membuat beberapa transaksi bayaran ke akaun bank berbeza dengan jumlah kerugian sebanyak RM64,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, walaupun beberapa bayaran dibuat oleh mangsa, namun syarikat penghantar itu dikatakan masih meminta bayaran lain dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan pengadu berasa curiga dan mengesyaki dirinya telah ditipu oleh suspek.
Berikutan rasa kecewa itu, pengadu segera membuat laporan polis.
Polis telah menjalankan siasatan dan bertindak atas laporan polis itu berjaya menahan empat suspek dan merampas pelbagai barangan yang disyaki mempunyai kaitan kes penipuan itu.
Kesemua suspek yang ditangkap itu berusia antara 30-an hingga 40-an dan diberkas di sebuah restoran makanan segera di Sri Damansara di sini.
Mereka kini direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette