KUALA LUMPUR – Barisan Penyatuan Nasional (BPN), hari ini meterai perjanjian bersama pembekal ayam dengan menawarkan harga ayam pada RM7.99 sekilogram khas untuk golongan B40 dan M40 di pasar raya.
Presiden parti politik baharu yang disertai ramai ahli perniagaan itu, Datuk Ibrahim Yahya bagaimanapun berkata, harga rendah itu hanya boleh dinikmati untuk pengguna atau rakyat yang berdaftar dengan keahlian BPN sahaja.
“Kita akan meletakkan ayam-ayam ini di pasar raya untuk ahli BPN”
“Setelah mengisi maklumat secara kasar yang mengesahkan mereka (pengguna) adalah di kalangan B40 dan M40, mereka boleh nikmati harga diskaun ini”
“Selain dari itu, beras, gula, minyak masak, dan tepung, juga terdapat harga istimewa yang boleh dinikmati oleh rakyat”
“Dana untuk berbuat demikian tidak menggunakan dana awam, malah semua peruntukan adalah dari perniagaan kami,” Ibrahim berkata pada sidang media sebelum menandatangani memorandum persefahaman itu di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.
Memorandum Persefahaman Bersama (MoU) itu juga ditandatangani oleh pembekal ayam di Pulau Pinang, Teoh Kim Chuan dari Bestari Widuri Sdn. Bhd.
Turut hadir ke sesi itu, pengasas sebuah syarikat pembekal gandum, Trizure International (Malaysia) Sdn. Bhd., Datuk Dr. Selvaraja Subramaniam.
Menurut Selvaraja, beliau ingin menjadikan Malaysia sebagai hub penanaman gandum melalui sistem moden hidroponik yang dakwanya mampu mengeluarkan hasil tujuh kali ganda lebih banyak berbanding teknologi tradisional.
“Teknologi hidroponik yang ada sekarang ini adalah dari Jerman, yang mana ianya sedang diujikaji di India dan di Afrika Selatan”
“Lokasi pertama projek ini akan dibuat di Melaka dan sudah mempunyai tapak dasar seluas 69 ekar dan sedang menunggu juruteknik untuk buat kajian”
“Di Ulu Tembeling kita dah pun menjalinkan kolaborasi dengan Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang untuk merancakkan lagi usahawan tempatan”
“Kita rancang dalam tempoh enam bulan teknologi yang melibatkan peruntukan RM20 juta tersebut akan dibawa masuk ke Malaysia.
“Seperti yang kita tahu, gandum ini bukan ditanam di Malaysia, tapi dengan hidroponik ni dalam rumah hijau, kita berupaya untuk mengubah suhu mengikut apa yang diperlukan untuk tumbuhan itu” katanya.
Tambah beliau lagi, satu program khas (Mentor-Mentee Share Rezeki) ditubuhkan bagi membantu mereka yang dah disenaraihitamkan dari membuat sebarang pinjaman, mereka yang tiada apa-apa bantuan, penghutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga mereka berjaya ke sidang perniagaan. -MalaysiaGazette.