Poster filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

DIALOG yang sarat dan padat dengan mesej mengenai Melayu dan Islam, mengenai perpaduan dan perpecahan kaum tersebut.

Bagi mereka yang alergik dengan perkataan Melayu, Islam, pengkhianatan, perjuangan, penjajah maka filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan bukanlah sesuai untuk ditonton.

Jelas filem arahan pengarah muda Syamsul Yusof dan bintangi oleh pelakon muda dan veteran ini adalah berpaksikan kisah orang Melayu, Islam.

Biarpun berlatarkan tahun 1892 ketika penjajah British mahu menguasai tanah-tanah negeri Pahang, namun ungkapan dan dialognya seolah-olah mahu memberikan ingatan kepada masyarakat Melayu-Islam pada hari ini.

Seruan Melayu bangkit

Pada awal filem lagi seruan supaya orang Melayu bangkit dan bersatu telah bergema di dalam panggung.

Melalui watak Salmah lakonan Ellie Suriati beliau menyatakan bahawa orang Melayu akan bangkit menentang sebarang bentuk kekejaman ke atas mereka.

“Demi Allah, demi Rasulullah aku berpijak di bumi Pahang ini. Di bawah langit Allah yang aku junjung, kamu… kamu semua akan menyaksikan kebangkitan orang Melayu menentang kekejaman penjajah orang putih,” katanya.

Watak itu bukanlah satu-satunya yang menyeru orang Melayu Islam untuk bangkit malah sepanjang tayangan orang Melayu diingatkan supaya mereka tidak lalai mempertahankan tanah air sendiri.

“Membiarkan penjajah bermaharajalela ibarat membenarkan musuh menebuk satu persatu dinding rumah kita sehingga hilang lah jati diri, adat, dan agama. Maka, bangkit dan bersepakat mempertahankan tanah air menjadi wajib kepada kita,” kata watak Haji Mahmud lakonan Jalaluddin Hassan.

Pada watak Mat Kilau lakonan Adi Putra, orang Melayu turut diingatkan penindasan yang berlaku ke atas kaum tersebut adalah disebabkan mereka berpecah belah.

“Inilah terjadi apabila bangsa sendiri berpecah. Orang asing mudah mengambil kesempatan. Bila ditakutkan mati, kezaliman di depan mata dihalalkan.

Watak lain seperti Rokian lakonan Zairna Zainoordin iaitu isteri kepada Wahid lakonan Beto Kusyairy turut melontarkan pesanan sama.

Ketika Rokiah menghadapi sakaratul maut sempat dia berpesan kepada suaminya menyelamatkan tanah air, “Jangan berhenti dalam perjuangan. Selamatkan bumi Melayu kita”.

Watak Pak Deris iaitu watak pengkhianat yang dilakonkan oleh A. Galak turut menyampaikan mesej yang sama pada penghujung cerita.

“Dah sampai masanya British terkubur di Tanah Melayu. Lihat dan saksikanlah kebangkitan anak Melayu,” kata Pak Deris yang insaf selepas mengkhianati perjuangan Mat Kilau.

Sindiran perpecahan

Mendengar dialog yang dituturkan oleh watak Kapten Syers lakonan Geoff Andre Feyaers juga pastinya akan mendatangkan perasaan marah dan insaf dalam masa yang sama.

Watak itu secara berterus terang mengejek orang Melayu kerana tidak dapat berbuat apa-apa terhadap penindasan Inggeris akibat berpecah belah.

“Kami akan mengambil hasil tanah Melayu ini jadi apa kamu semua boleh buat? Kamu mahu melawan Inggeris? Saya mahu tengok apa bangsa Melayu boleh buat dengan kerajaan British,” katanya pada awal-awal pembukaan filem.

Bukan sekali itu, watak itu memperlekehkan orang Melayu, pada beberapa adegan lain.

“Orang Melayu takkan boleh halau Inggeris. Kerana bangsa kamu adalah bangsa yang berpecah-belah. Tidak pernah bersatu, dan kerana itu, kamu lemah.”

“Orang Melayu tidak pernah bersatu, sebab itu mereka senang untuk dijajah dan dipijak,  mereka saling menjatuhkan sesama sendiri!”

Satu lagi watak antagonis iaitu Toga lakonan Yayan Ruhain mengungkapkan dialog bahawa orang Melayu tidak mudah diperkotak-katikkan jika mereka boleh berpakat dan bekerjasama.

“Jika mereka (Orang Melayu) bersatu, sejuta senjata kamu pun tidak berguna lagi. Kerana perpaduan mereka adalah senjata utama orang Melayu, yang paling hebat.”

Islam sebagai penyatuan 

Jelas sekali filem ini mengangkat Islam sebagai pengikat untuk menyatukan orang-orang Melayu.

Hanya dengan memahami Islam orang Melayu boleh bangkit dan mempertahankan hak mereka.

“Aku hamba pada Yang Esa yang sujud pada yang Satu. Allah maha mendengar. Sebagai pendatang jagalah adab, jangan terlintas menjadi raja,” kata Mat Kilau ketika ditanya siapa dirinya.

Terdapat satu dialog yang paling meremangkan bulu roma dalam filem tersebut apabila Mat Kilau sekali lagi diminta memperkenalkan dirinya oleh penjajah.

“Islam agamaku, Melayu bangsaku, takkan aku duduk berdiam melihat apa yang kau buat pada bangsaku. Keris yang menyilau, aku dipanggil Mat Kilau”.

Sebelum filem berakhir satu lagi dialog dilontarkan Mat Kilau menyeru, “Orang Melayu tidak akan kekal mulia dengan adat, kesultanan dan budaya semata-mata.

“Tapi kita akan kekal mulia kerana akidah jika berpegang teguh dengan Islam. Di situlah terletak kemuliaan orang-orang Melayu yang sebenar.

“Wahai saudaraku Allah adalah kekuatan kita, untuk mencari kekuatan carilah Allah!”

Banyak lagi ungkapan mutiara kata dalam filem ini. Mungkin menontonnya sekali tidak dapat mendengar kesemua amanat. Dan disebabkan itu ada yang menontonya lebih daripada sekali.

Rindu kehadiran wira menyatukan Melayu?

Ketika ini filem Mat Kilau telah merekodkan kutipan lebih RM53 juta hanya selepas 13 hari ditayangkan. Angka tertinggi yang pernah dicatatkan oleh filem tempatan. Jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

Malah panggung wayang yang menayangkan filem ini masih lagi dipenuhi oleh penonton. Kelihatan yang hadir juga daripada ahli keluarga yang turut membawa anak.

Kepuasan kelihatan terpancar pada wajah audien selepas keluar daripada pawagam.

Melihatkan sambutan yang luar biasa terhadap filem Mat Kilau apakah faktornya?

Adakah kerana pengarahnya, adakah kerana pelakonnya atau adakah kerana ceritanya yang dipenuhi oleh adegan pertarungan yang luar biasa?

Atau adalah juga kerana orang Melayu terlalu rindu mahu melihat seorang wira yang boleh menyatukan mereka seperti yang diserukan oleh filem ini? – MalaysiaGazette