Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 kes subvarian Omicron sedang dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 30 Jun lalu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, berdasarkan jumlah tersebut, tiada kes subvarian Omicron BA.4.

Justeru, beliau tidak menolak subvarian BA5 kini sudah menular di dalam negara.

“Enam kes BA.2.12.1; lima kes BA.5 dan dua kes BA.5.2. Kemungkinan besar varian Omicron BA5 sudah merebak luas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin,” katanya ketika sidang media mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, gelombang baharu itu telah dijangka oleh KKM kerana subvarian tersebut adalah yang paling mudah merebak.

Selain itu Khairy berkata, subvarian baharu itu juga berisiko untuk menjangkiti semula individu yang telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh lebih pendek.

“Ia lebih mudah menjangkiti berbanding varian Omicron sebelumnya iaitu BA.1 dan BA.2. Mereka yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 atau telah dijangkiti Covid-19 sebelum ini lebih berkemungkinan untuk dijangkiti semula dengan varian ini. Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19 dalam beberapa minggu akan datang,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Khairy menyarankan agar individu yang layak supaya mengambil dos penggalak pertama dan kedua (bagi yang berisiko tinggi).

“Walaupun vaksin tidak memutuskan rantaian tapi boleh mengurangkan keseriusan kes dan gejala yang dialami pesakit,” katanya.

Seramai 16,152,022 (68.60 peratus) individu telah mendapat dos penggalak pertama vaksin Covid-19.

Jumlah individu yang layak menerima dos penggalak pertama mengikut kriteria yang ditetapkan oleh KKM adalah 23,545,221, manakala yang belum lagi mengambil dos penggalak pertama seramai 7,393,199 (31.40 peratus).

Sementara itu, seramai 2,490,810 individu yang layak menerima dos penggalak kedua, dalam masa yang sama 93.94 peratus daripadanya masih belum berbuat demikian.

Dalam pada itu, Khairy menyarankan agar individu yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha supaya menjalankan ujian kendiri.

Beliau berkata, langkah berkenaan masih lagi merupakan antara yang berkesan mengelakkan berlakunya penularan Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast