Pemandu lori (tengah) yang merempuh 11 kenderaan di Jalan Tambak menuju Singapura di bawa ke mahkamah untuk perintah reman selama hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

JOHOR BAHRU – Pemandu lori yang merempuh 11 kenderaan di Jalan Tambak menghala Singapura pagi semalam direman tiga hari bermula hari ini, mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.

Dia juga mempunyai enam saman yang masih belum dijelaskan, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Melody Woon Sze Mun di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi bagi menjalankan siasatan mengikut Seksten 42 Kurungan  1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suspek berbaju hitam dilihat tiba di perkarangan kompleks mahkamah kira-kira 10 pagi dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Dalam kejadian pukul 9.25 pagi semalam itu, pemandu lori berkenaan merempuh 11 kenderaan termasuk enam kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Kemalangan dipercayai dilaporkan berpunca daripada kerosakan mekanikal lori yang membawa muatan habuk kayu. -MalaysiaGazette