Antara adegan yang terdapat dalam filem Mat Kilau Kebangitan Pahlawan

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) United Sikhs Malaysia melahirkan perasaan tidak senang hati terhadap filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

Pertubuhan itu dalam satu kenyataan berkata, pemaparan kaum tersebut sebagai ganas dalam filem yang berinsiprasikan sejarah itu menyakitkan sentimen mereka.

Menurutnya, pemaparan kaum tersebut yang membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tidak berdaya adalah tidak bertepatan dengan kod amalan Sikh.

Filem tersebut katanya, boleh membawa kepada ketidakharmonian masyarakat di Malaysia.

“Khususnya, kami perhatikan bahawa orang Sikh berserban yang merupakan askar British dalam filem itu digambarkan telah ‘meletakkan tangan’ ke atas orang tua, kanak-kanak, dan rakyat yang tidak berdaya.

“Bahagian ini telah ditambah oleh pengeluar untuk membuat jalan cerita yang menarik.

“Kod amalan Sikh melarang meletakkan tangan ke atas orang tua, kanak-kanak, wanita dan warganegara yang tidak berdaya walaupun semasa perang,” katanya.

Dalam filem Mat Kilau, kaum Sikh dipaparkan sebagai askar yang diupah oleh British untuk mengawal keselamatan penjajah dan ditugaskan menghapus orang Melayu yang menentang penguasaan British di Tanah Melayu.

Dalam filem itu askar berketurunan Sikh telah membunuh penentang termasuk wanita dan kanak-kanak selepas diarahkan berbuat demikian oleh British.

Sejarah mencatatkan bahawa kaum Sikh telah dibawa oleh British masuk ke Tanah Melayu bagi menjaga keselamatan dan kepentingan penjajah.

Bagaimanapun menurutnya, adegan tersebut adalah rekaan penerbit.

“Walaupun adegan kontroversi dalam filem itu adalah rekaan, ia adalah tidak menyenangkan dan menyakitkan sentimen orang Sikh.

“Kami dengan rendah hati menggesa Industri Filem Malaysia untuk tidak menghasilkan filem dengan mengorbankan sentimen agama dan kaum dan yang berpotensi menimbulkan salah faham agama dan kaum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast