Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan, syarikat swasta dan individu yang mengambil tindakan segera membantu mangsa banjir di Baling, Kedah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di daerah Baling pada Isnin lepas, yang telah meragut tiga nyawa manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“Seri Paduka menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tiga mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar penduduk yang terjejas khususnya mereka yang telah kehilangan kediaman, tabah dan sabar menghadapi dugaan yang berat ini. Seri Paduka menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga,” menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Bencana banjir dan kepala air yang berlaku kira-kira 4 petang Isnin itu menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun, termasuk seorang wanita hamil, ditemukan maut selepas dihanyutkan arus banjir di Kampung Iboi.

Sebagai solidariti atas musibah yang berlaku, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengambil maklum bahawa masjid-masjid di seluruh negeri Pahang melaksanakan kutipan pada solat Jumaat semalam untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang terjejas.

Al-Sultan Abdullah menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana tersebut.

“Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan agar Malaysia sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah,” kata Ahmad Fadil.- BERNAMA