Dr Boi Saidi Abdul Razak (gambar kecil)

KUALA LUMPUR – Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) tidak menolak dakwaan klinik-klinik swasta menaikkan caj rawatan disebabkan harga ubat di pasaran yang naik dengan ketara.

Presidennya, Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, kenaikan itu dibuat oleh pembekal.

Disebabkan bekalan ubat yang diperoleh mahal sudah tentu kos itu perlu ditanggung oleh pelanggan.

“Jika klinik-klinik mendapat bekalan ubat pada harga yang mahal, sudah tentu ubat yang dibekalkan kepada pelanggan juga perlu dinaikkan.

“Untuk pengetahuan, harga ubat memang naik dengan ketara disebabkan kekurangan stok daripada pembekal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Dr Boi Saidi berkata, mengikut undang-undang, semua klinik swasta di negara ini dibolehkan mengenakan caj konsultasi di antara RM35 hingga RM125 dan ia masih terpakai.

Manakala daripada penjualan ubat, selalunya harga yang dikenakan kepada pesakit adalah antara 10 hingga 20 peratus daripada harga asal yang dibeli daripada syarikat ubat.

“Caj konsultasi dan ubat lebih daripada peraturan yang ada dan diamalkan selama ini memang tidak dibenarkan sama sekali dan perkara itu diketahui oleh pemilik-pemilik klinik,” katanya.

Justeru, beliau menaruh harapan agar kerajaan segera dapat menangani kekurangan bekalan ubat yang telah mencetuskan kenaikan harga. – MalaysiaGazette