KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan kerajaan maut digilis sebuah treler dalam satu insiden kemalangan yang berlaku di Kilometer 26.5 Jalan Klang- Banting- Port Dickson di Kuala Langat dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam.
“Semasa kejadian, mangsa berusia berumur lingkungan 35 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha dari arah Banting menghala ke Klang dipercayai pulang dari tempat kerjanya.
“Siasatan yang dijalankan mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan bergesel dengan tayar kanan sebuah treler.
“Mangsa kemudiannya jatuh lalu termasuk ke bawah treler mengakibatkandigilis tayar bahagian belakang treler tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Ridhwan, pemandu treler yang menyedari terlanggar penunggang motosikal semasa kejadian itu kemudian memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.
Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini agar menghubungi segera mana-mana Balai Polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 017-3012621 atau 03-31872222. – MalaysiaGazette