Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis menggunakan dron bagi memantau aliran trafik selain mengesan kesalahan kesalahan pengguna jalan raya sepanjang Op Lancar sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penggunaan peralatan itu membolehkan pemantauan dilakukan pada jarak yang lebih jauh.

Tambahnya, pihaknya turut memperketatkan pemantauan di 30 kawasan panas di Johor yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan dan kesesakan menjelang perayaan.

Penguatkuasaan Op Lancar bermula 8 sehingga 11 Julai depan melibatkan seramai 1, 120 pegawai dan anggota polis di seluruh Johor dengan memberi fokus kepada kelancaran lalu lintas.

“Bagaimanapun saya berharap semua pengguna jalanraya berhati-hati dan jangan amalkan sebarang provokasi. Polis juga gunakan pantauan menggunakan dron untuk memastikan sama ada liputan pemantauan lebih luas dan jauh kepada kenderaan yang langgar kesalahan terutama memotong barisan.

“Kalau ada kesalahan berlaku kita akan terus ambil tindakan menyaman dan saya menasihatkan bersabar dan masih lagi bersabar,” katanya ketika ditemui selepas memantau penggunaan dron dalam penugasan Op Lancar di Jalan Tebrau, Johor petang tadi.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang kejadian kesalahan lalu lintas sepanjang OP Lancar. – MalaysiaGazette