Sebahagian peserta yang menyertai Himpunan Aman Kenaikan Harga Barang memegang plakad bantahan di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis sudah mengenal pasti 10 individu yang menyertai Himpunan Kenaikan Harga Barang di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan siasatan berhubung himpunan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Kita mengenal pasti seramai 10 individu hadir ke perhimpunan itu dan kita juga sudah mengenal pasti penganjur himpunan itu.

“Kita akan memanggil mereka untuk hadir ke IPD (Ibupejabat Polis Daerah) Dang Wangi dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.

“Lagi pun mereka berhimpun tanpa kebenaran polis dan tiada sebarang notis pemberitahuan awal dikemukakan kepada kami,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pecat menteri gagal tangani isu barang naik – Prabakaran

Terdahulu, pemerhatian di kawasan pusat bandar raya hari ini mendapati himpunan  anjuran Angkatan Muda Keadilan itu hambar dan tidak mendapat sambutan.

Malah terdapat notis kertas putih tertera teks sebarang perhimpunan dilarang di kawasan tersebut beserta pita diikat di tangga pusat beli-belah sebagai mengelak orang ramai berkumpul.

Turut hadir dan berucap dalam himpunan itu adalah Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Mereka berhimpun kira-kira 20 minit bermula 3.30 petang dengan mendukung plakad putih tertera beberapa perkataan seperti “Kerajaan Gagal 2.0, turunkan harga barang dan sebagainya.

Keadaan dikawal oleh sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Dang Wangi di lokasi itu.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sehingga himpunan itu berakhir kira-kira 4 petang tadi. – MalaysiaGazette