Dr. Ibrahim (tengah) memotong tali belon tanda merasmikan Pejabat Putra Rantau Panjang semalam.

RANTAU PANJANG – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) minta rakyat Kelantan terutama dalam kawasan Rantau Panjang menunjukkan kepadanya bentuk pembangunan yang kerajaan Pas Kelantan lakukan sepanjang lebih 30 tahun memerintah.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali teringin melihat dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh pemimpin Pas sama ada di peringkat Parlimen mahupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selepas sekian lama mewakili dan mendapat mandat rakyat, saya tengok habuk pun tak ada, kecuali bantuan beras lima hingga 10 kilogram, sardin dan mihun yang diagihkan ketika banjir atau Ramadan.

“Itu pun diberikan kepada penyokong Pas sahaja dan bantuan pula dari kerajaan, bukan daripada duit poket wakit rakyat itu sendiri,” katanya pada majlis perasmian Pejabat Putra Bahagian Rantau Panjang di Lubok Jong dekat sini semalam.

Ibrahim berkata, antara projek yang boleh dilihat secara nyata ialah bangunan pejabat Pas dan masjid parti itu yang dibina di kawasan yang agak luas di tepi-tepi jalan.

“Kalau dibuat semakan, tidak mustahil tanah itu ditukar kepada nama pemimpin Pas,” katanya.

Rakyat setempat hadir memberi sokongan kepada Putra pada hari perasmian pejabatnya di Rantau Panjang semalam.

Beliau turut mendedahkan perlakuan zalim kerajaan Pas ke atas kira-kira 300 peneroka di Bukit Tandak dekat sini yang mana pengurusannya telah diberikan kepada sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemimpin parti itu.

Katanya, syarikat yang diberi secara runding terus dengan nilai RM4 juta itu difahamkan mempunyai nilai melebihi RM11 juta sedangkan kes mahkamah mengenai peneroka ini belum selesai lagi.

“Tetapi kerajaan negeri bertindak tanpa perikemanusiaan. Pokok getah ditebang oleh syarikat ini sehingga peneroka hilang pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menyindir kerajaan Pas Kelantan tidak mengambil serius dengan produk yang boleh menyumbang kepada ekonomi negeri seperti Zon Bebas Cukai Rantau Panjang yang tidak terurus.

“Lihat saja Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, sakit mata memandang, keadaannya sama taraf dengan Pasar Munduk di negara jiran, Thailand.

“Bandar Rantau Panjang pula saling tak ubah seperti pekan koboi tahun 1800 di Amerika. Selalu dinaiki air dengan limpahan dari Sungai Golok setiap musim tengkujuh.

“Sungainya pula tidak terjaga dan ada banyak pangkalan haram yang menjadikan lubuk penyeludupan barang keperluan asas ke negara Thailand,” katanya.

Paling menyedihkan, kata beliau, bangunan kastam telah usang dan sepatutnya diganti dengan bangunan baharu pelbagai guna kerana daerah itu merupakan pintu masuk sempadan.

Beliau turut membandingkan usahanya ketika menjadi pemimpin di daerah Pasir Mas dengan membawa masuk Jambatan Salor tahun 1986 kemudian diusahakan supaya naik taraf kepada empat lorong bersama jejambat pada 2017 dan 2018.

Ibrahim juga membawa masuk Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Lubuk Jong, membangunkan Bandar Baru Pasir Mas dengan bangunan baharu yang kini menempatkan pejabat majlis daerah dan lain-lain.

“Jika tidak kerana usaha pemimpin kerdil bernama Tok Him, nescaya ianya tidak menjadi kenyataan. Tengoklah rekod bagaimana Tok Him menjaga kebajikan rakyat DUN Cetok, sewaktu dalam Bahagian Pasir Mas dahulu.

“Sebenarnya kawasan Parlimen Rantau Panjang mempunyai potensi sangat besar untuk dimajukan dan rakyat boleh bergantung hidup dengan selesa dan mewah jika dibangunkan dengan idea serta inovasi.

“Ini kerana kawasan sangat strategik dengan negara Thailand dan menjadi pintu masuk pelancong bukan sahaja dari Thailand tapi dari pelbagai negara,” katanya.

Mengenai perpaduan, Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ia adalah teras utama kekuatan kepada mana-mana bangsa.

Ujar beliau, kesedaran pentingnya perpaduan di kalangan umat Melayu mula terserlah selepas munculnya tayangan filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan sehingga baginda Sultan Selangor turut bertitah agar umat Melayu Islam hendaklah bersatu demi agama, bangsa dan tanah air.

“Menyebut perkataan perpaduan adalah mudah. Sememangnya merupakan ungkapan popular di kalangan para pimpinan politik, tetapi menyeru kepada perpaduan juga sebahagian daripada punca menyebabkan berlakunya perpecahan. – MalaysiaGazette