KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang lelaki warga asing yang cuba melarikan diri kerana enggan memberi kerjasama untuk diperiksa pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek berusia 35 tahun dan kelihatan seperti warga Indonesia itu diberkas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) awal pagi tadi.
“Pada jam lebih kurang 9 pagi tadi, polis telah terkesan satu klip video di aplikasi Facebook dimuat naik oleh seorang pemilik akaun yang memaparkan kes tangkapan ke atas seorang lelaki di TBS.
“Hasil semakan mendapati, jam lebih kurang 5.45 pagi tadi, polis telah mengesan suspek lelaki bukan warganegara berumur 35 tahun dalam keadaan mencurigakan di hadapan Pintu C terminal TBS.
“Polis telah menghampiri suspek dan meminta mengemukakan pengenalan diri tetapi suspek tidak memberikan kerjasama dan berlaku pergelutan semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan tengahari tadi.
Suspek kemudian ditangkap dan dibawa ke Pondok Polis TBS atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Pun begitu, katanya, ketika berada di Pondok Polis TBS, suspek sekali lagi cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan di antara pihak polis dengan suspek.
“Namun keadaan dapat dikawal sepenuhnya,” ujarnya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959 (Pin 2002).
Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh mengganggu ketenteraman awam..
Terdahulu, video berdurasi dua minit 13 saat tular di media sosial memaparkan dua anggota polis dengan bantuan dua lagi orang awam telah menangkap seorang individu dalam keadaan terbaring atas lantai di lobi TBS sambil disaksikan orang ramai.- MalaysiaGazette