JOHOR BAHRU – Seorang bekas pemain bola sepak skuad kebangsaan ditahan polis di sekitar bandar raya ini semalam kerana disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine.

Individu berkenaan pernah menyarung jersi tiga pasukan liga super sepanjang kariernya dengan turut menganggotai skuad Harimau Muda dan Harimau Malaya, menurut sebuah portal.

Suspek berusia 36 tahun itu juga pernah menjulang enam piala Liga Super bersama dua pasukan berbeza antara tahun 2009 hingga 2017.

Selain itu, dia turut pernah menjulang kejuaraan Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Pemain yang dimaksudkan itu juga pernah mewakili tiga pasukan besar dalam saingan Liga Malaysia selain pernah beraksi bersama skuad B-23 tahun dan pasukan senior negara.

Selepas bersara dari bola sepak profesional, beliau dikatakan terlibat dengan aktiviti disebalik tabir tetapi tidak bertahan lama sebelum dilaporkan ditahan pihak berkuasa kerana memiliki Methamphetamine.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) ACP Rupeah Abr Wahir yang dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.- MalaysiaGazette