KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi keutamaan untuk menyegerakan baik pulih rumah-rumah mangsa yang terlibat dalam tragedi air bah di Baling, Kedah, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah memberikan bantuan segera kepada mangsa-mangsa yang terlibat sebelum ini.
Katanya, antara bantuan awal yang dihulurkan adalah pemberian wang tunai sebanyak RM1000 serta bantuan pembelian barangan elektrik sebanyak RM500 sama seperti yang pernah dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir sebelum ini.
“Yang pentingnya rumah apabila roboh perlu disegerakan pembinaan baharu supaya boleh dibaik pulih kita akan baik pulih segera,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, usaha memantau dari segi pelaksanaan baik pulih kediaman sedang dilakukan dan sekiranya terdapat rumah yang musnah akan dibina yang baharu.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri bersama lebih 1,000 warga kota beragama Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan.
Beliau yang memakai baju Melayu warna biru serta bersamping tiba di masjid tersebut pukul 8.08 minit pagi.
Ketibaan beliau di pekarangan masjid tersebut disambut Imam Besar, Masjid Wilayah Persekutuan, Rozimi Zamri dan Penolong Pengarah Kanan Masjid Wilayah Persekutuan, Dr Khalid Esa.
Selesai solat sunat Perdana Menteri kemudian menghayati khutbah yang dibacakan Rozimi dengan tajuk “Berkorban Untuk Kejayaan”. – MalaysiaGazette