NEGARA baru-baru ini dilanda polemik apabila influencer (pempengaruh) media sosial terkenal dibawa masuk untuk memberi ceramah motivasi di sebuah sekolah menengah. Influencer media sosial tersebut mula mendapat perhatian masyarakat apabila beliau
berjaya menghimpunkan lebih 800,000 pengikut di akaun media sosial beliau. Mesej-mesej positif cuba ditonjolkan oleh influencer media sosial tersebut dengan memberi semangat kepada golongan belia bahawa kegagalan dalam akademik tidak
bermaksud gagal dalam kehidupan.
Beliau berjaya membuktikan bahawa mantan ‘Mat Rempit’ seperti beliau mampu berjaya dalam kehidupan jika ada usaha dan niat yang kental, namun terdapat kritikan oleh masyarakat terhadap gaya bahasa yang beliau gunakan semasa penyampaian di media sosial kerana dianggap kasar dan menggunakan kosa kata yang kurang sesuai. Melihat kepada mesej positif yang cuba ditonjolkan oleh influencer media sosial tersebut, maka penganjur program Cerita Orang Gagal (COG) telah mengusahakan agar influencer media sosial tersebut dibawa masuk ke sebuah sekolah menengah di Sungai Besi untuk berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada golongan Belia Bersekolah.
Penyampaian influencer media sosial tersebut kepada golongan Belia Bersekolah di dalam program tersebut lebih kepada penceritaan jalan salah yang pernah beliau pilih dan ingatan supaya golongan Belia Bersekolah tidak mengikut jalan yang sama. Pendekatan tersebut dianggap sesuai oleh penganjur COG memandangkan kumpulan sasar yang mereka ingin dekati adalah Belia Berisiko yang masih mampu diselamatkan diperingkat persekolahan.
Penganjur COG telah mengadakan program ini sejak tahun 2018, malah penganjuran COG semenjak peringkat awal telah mendapat sokongan Majlis Belia Malaysia (MBM) memandangkan penggeraknya adalah mantan Pemimpin Belia (kini beliau bergerak sebagai Pembimbing Belia). Penganjur COG pernah membawa masuk beberapa mantan Belia Berisiko ke dalam sekolah menggunakan platform yang sama untuk memberi nasihat dan motivasi, namun sebelum ini masyarakat tidak pernah mepersoalkan pendekatan tersebut malah pihak sekolah menyambut baik usaha yang dilakukan oleh penganjur COG.
Sokongan MBM terhadap program yang membakar semangat golongan Belia Bersekolah tidak hanya tertumpu kepada program seperti COG, MBM juga menyokong program yang membawa masuk tokoh-tokoh Belia Massa ke sekolah seperti Tokoh Belia Negara atau atlet sukan yang telah mengharumkan nama negara. Secara umumnya MBM tidak membezakan pengalaman berharga yang mampu dikongsikan oleh mantan Belia Berisiko atau Belia Massa, setiap pengalaman tersebut boleh dijadikan panduan oleh golongan Belia Bersekolah selagi ia disampaikan dengan cermat.
Seharusnya polemik influencer media sosial tersebut perlu dilihat secara adil, usaha COG mengangkat mesej yang di bawa oleh influencer media sosial tersebut perlu dipuji kerana kebaikan tidak dilihat dari bibir yang menuturkannya namun ia dilihat daripada makna yang dilontarkan. Justeru MBM berpandangan bahawa jemputan oleh pihak sekolah kepada mantan Belia Berisiko perlu diraikan selagi mesej yang sampaikan adalah positif dan menyeru ke arah kebaikan.
Nasihat yang baik perlulah disampaikan kepada golongan belia, ia sejajar dengan mesej surah Al-Baqarah pada ayat 206. Masyarakat juga perlu berlapang dada dalam menilai influencer media sosial tersebut, tegurlah kelemahan beliau yang perlu diperbaiki namun jangan ketepikan nasihat dan niat baik beliau yang mahu mencegah golongan Belia Bersekolah dari terjebak ke jalan yang salah.
Oleh: Mohd Fauzi Fadzil
Exco Majlis Belia Malaysia