Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menggantung sementara lesen premis yang menjadi tempat seorang wanita berkelakukan biadap di Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya telahpun melakukan siasatan terhadap premis terbabit dan tindakan menggantung lesen pengoperasian dilakukan serta- merta.

Menurutnya, tindakan seperti itu diambil sebagai suatu mesej jelas bahawa pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

“Saya berharap insiden sebegini tidak akan berulang lagi di mana-mana premis yang berada dalam Wilayah Persekutuan mahupun di seluruh negara.

“Justeru, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, disamping laporan orang awam juga sentiasa diperlukan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tangkap layar media sosial wanita mengaku Islam dan Melayu menanggalkan pakaian dan tudung depan penonton.

Dalam pada Jalaluddin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara berkenaan yang merupakan satu perbuatan menghina kesucian Islam sebagai agama rasmi negara.

Katanya, setakat ini beliau dimaklumkan bahawa Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah melakukan siasatan awal.

Tegasnya, jika disabitkan kesalahan individu yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 yang boleh membawa kepada denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Jalaluddin berkata, beliau difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah melakukan siasatan melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian., tambahnya. – MalaysiaGazette