Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang maut dalam nahas di Pagoh, mmalam tadi.

MUAR – Dua maut manakala sembilan lagi mangsa cedera dalam nahas melibatkan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 144.8, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara, Pagoh di sini malam tadi.

Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 40-an dan 20-an meninggal dunia di tempat kejadian.

Identiti mangsa-mangsa yang cedera pula ialah Mohd Joe, 47, Norlida Idris, 47, Nor Aini Sofya 21, Adib Mohamad 19, Puteri Nur Anis, 15, Mohd Adib Shamir 11, Mohd Syamel 8, Suzie Liana 41, dan Mohd Danial Ariff, 9.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, kemalangan itu menyebabkan tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan sejauh 20 hingga 30 meter manakala satu lagi mangsa tersepit di bawah kenderaan.

Katanya, bomba ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 11.02 malam tadi.

Beliau berkata, pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan.

Dua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis manakala mereka yang cedera dikejarkan ke hospital. – MalaysiaGazette