Para petugas menumbangkan lembu yang akan dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Wilayah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR –  Sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Imam Kanan Masjid Wilayah,  Zulkifli Salleh berkata, sebanyak enam ekor lembu disembelih di sini, manakala empat lagi dilakukan di pusat penyembelihan bagi mempercepatkan proses agihan.

“Alhamdulillah sambutan sertai ibadah korban dalam kalangan masyarakat setempat dan jemaah masjid mendapat sambutan, ada yang beri seekor lembu.

“Kita akan agihkan kepada peserta, ada juga kita beri satu per tiga, tapi ramai yang minta kita agihkan terus kepada memerlukan.

“Kita juga beri kepada fakir miskin dan asnaf yang telah buat permohonan dengan kita,” katanya kepada MalaysiaGszette.

Zulkifli Salleh

Mengulas lanjut beliau berkata, ibadah korban pada tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan kelonggaran beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP). 

“Alhamdulillah tahun ini sangat berbeza dari tahun lepas kerana tahun lepas ada kekangan pandemik, kehadiran pun tidak ramai macam hari ini,“ tambah beliau.

Sebagai rekod,  jumlah sembelihan korban yang dilaksanakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di masjid dan surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada tahun ini adalah 1,285 ekor lembu, dua ekor kerbau dan 145 ekor kambing.- MalaysiaGazette