Lelaki Arab yang ditahan kerana dikatakan membawa pisang ketika hendak menunaikan

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat  mengesahkan penahanan seorang lelaki Arab kerana membawa senjata tajam ketika mengunjungi Masjid Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini untuk menunaikan solat sunat perayaan Hari Raya Aidiladha.

Suspek berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 8.45 pagi tadi.

Katanya, insiden berkenaan berjaya dikesan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah JBS yang ketika itu sedang membuat kawalan keselamatan di masjid berkenaan.

“Hasil pemeriksaan tubuh yang dijalankan mendapati suspek memiliki sebilah pisau bersarung dengan ukuran 33 sentimeter termasuk ulu pisau yang diselit di bahagian tali pinggang.

“Siasatan awal mendapati senjata berkenaan merupakan satu hiasan tradisi sempena musim perayaan di negara suspek namun perkara tersebut salah di sisi undang-undang negara.

“Sehubungan itu, lelaki warga asing berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jika didapati bersalah lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun beserta sebatan.- MalaysiaGazette