Temubual ekslusif SkopMG bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. . Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.
Rafizi Ramli

Saudara pengarang,

KEMUNCULAN semula Rafizi Ramli di persada politik disambut baik oleh orang ramai kerana beliau dikenali sebagai ‘survey man’ iaitu lebih suka mendapat undi sokongan rambang melalui Invoke sebelum mencatur langkah. Tidak salah jika ada pemimpin begini tetapi jika saya pinjam kata-kata Tok Mat dalam klip audio temuramah baru-baru ini apabila mempelak Najib, “it is more important to be an effective leader than a popular one”

Apakah nilai sebuah survei itu jika dilihat sudut pemahaman bersifat prejudis jelas ketara. Timbalan presiden UMNO sendiri mempersoalkan terjemahan populariti ‘bossku’ dalam konteks pentadbiran negara. Sebagaimana Rafizi yang membangkitkan kemenangan beliau sebagai Timbalan Presiden PKR sudah pun diagak oleh Invoke, milik beliau sendiri. Saya harap tidak terlalu kasar jika membangkitkan kredibiliti survei yang bersifat suka sama sendiri dalam konteks ini.

Generasi muda bukan semuanya peka dengan situasi dalaman parti-parti politik tetapi cerdik menilai sifat tanggungjawab seorang pemimpin yang mampu melaksanakan amanat. Tidak ada guna lebih kuah dari isi bila bergiat berkempen kerana soal lazim yang sering diabaikan adalah, sanggupkah pemimpin itu mengambil keputusan tidak popular demi hasil jangka masa panjang? Visi dimiliki seorang pemimpin penting dalam melakar masa depan lebih baik bagi sebuah negara.

Keperibadian seorang pemimpin memberikan sedikit bayangan apa yang boleh diharapkan oleh rakyat. Rafizi pernah menjadi popular kerana membongkarkan skandal lembu dalam negara dan terpaksa membayar harga yang tinggi sehingga tidak dapat bertanding di PRU lepas. Setelah dilantik menjadi Naib Presiden beliau berehat sehinggalah pemilihan baru-baru ini. Tahniah di atas kemenangan beliau tetapi mengapa orang-orang kuatnya di Angkatan Muda dan Wanita tewas?

Kadangkala statistik tidak memberikan gambaran sepenuhnya kerana sentimen mereka yang menjawab soalan-soalan dikemukakan ketika survei dilakukan, berhadapan risiko ‘herd mentality’. Konflik ingin menjawab secara jujur tetapi tidak mahu beri jawapan tidak popular menjadi halangan.

Rakyat Malaysia akan memberikan jawapan jujur mereka sekali lagi di PRU ke-15 yang mana kertas undi itu tidak boleh dimanipulasi sama sekali.

Ismail Hasnan
Pemerhati politik