KUALA LUMPUR – Tindakan berani seorang wanita yang membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton baru-baru ini sebenarnya menghina diri sendiri.
Wanita terbabit telah merendahkan kedudukannya dan dia sepatutnya berasa malu terhadap perbuatannya itu, kata Mohd Noor Azib Azmangi, Naib Presiden Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
“Sebenarnya Islam tidak rasa terhina pun dengan tindakan puak-puak sebegini. Sebaliknya mereka yang menghinakan diri mereka ke serendah-rendah kedudukan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Mohd Noor Azib turut memetik ayat lima, surah At-Tin yang bermaksud “Kemudian, Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah”.
Sebelum ini tular sebuah rakaman berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita berada di atas pentas dengan memakai baju kurung lengkap dan bertudung.
Bagaimanapun, selepas memperkenalkan diri sebagai seorang Muslim dan mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran, dia kemudiannya menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung hingga dalam keadaan separuh bogel.
Tindakan wanita itu mengundang kecaman dan kemarahan netizen apabila perlakuan itu berlaku menjelang Hari Raya Aidiladha.
Rata-rata yang menonton rakaman itu menganggap ia seperti provokasi yang disengajakan. – MalaysiaGazette