Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di semua lebuh raya utama bergerak lancar pagi ini berikutan orang ramai dijangka memulakan perjalanan masuk atau keluar dari Lembah Klang selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha semalam.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi perkongsian di Twitter rasminya melaporkan trafik masih lancar di kedua-dua arah di sepanjang lebuh raya bagi sektor utara, selatan dan timur termasuk lokasi-lokasi di sekitar plaza tol setakat 10.30 pagi ini.

Selain itu, trafik juga dilaporkan lancar di Tambak Johor di kedua-dua arah Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Satu kemalangan dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di KM52.7 arah utara dari Sedenak ke Simpang Renggam namun tiada lorong terhalang dan kenderaan bergerak lancar.

Selain itu, satu kemalangan  dilaporkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di KM34 arah barat dari Genting Sempah ke Gombak sehingga menghalang laluan lorong laju namun aliran trafik masih lancar di lokasi.

LLM menasihati pengguna jalan raya terutama di bahagian timur agar mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan Lebuhraya Utara-Selatan sama ada perjalanan keluar atau kembali ke Lembah Klang sempena cuti perayaan ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik. – BERNAMA