KUALA LUMPUR – Rekod tanpa kalah pasukan bawah 19 Tahun (B-19) negara dalam kempen Kejohanan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) lebur selepas tewas 0-1 kepada Laos pada perlawanan terakhir saingan Kumpulan B di Bekasi, Indonesia, hari ini.

Pemain gantian, Phoutthavong Sangvilay muncul wira Laos pada aksi di Stadium Patriot Candrabhaga itu selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-68, sekali gus membantu pasukan mengekalkan rekod bersih dalam empat perlawanan saingan kumpulan.

Keputusan itu membolehkan Laos mengumpul 12 mata untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir selaku juara kumpulan manakala skuad Harimau Muda, kendalian Hassan Sazali Mohd Waras, mengutip tujuh mata dan terpaksa berpuas hati melangkah ke pusingan kalah mati sebagai naib juara.

“Saya berharap kita akan kembali bangkit daripada kekalahan ini pada saingan separuh akhir. Walaupun kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk capai kemenangan, kita tahu kesilapan adalah pada peluang jaringan yang tak dapat disempurnakan.

“Pada saya 20 hingga 15 minit terakhir kita kawal sepenuhnya permainan tetapi peluang yang diperoleh kita tidak gunakan dengan sebaiknya,” kata Hassan Sazali menerusi klip audio yang dikongsikan kepada media.

Menanti skuad B-19 kebangsaan di separuh akhir yang dijadual berlangsung Rabu ini adalah juara Kumpulan A, Vietnam, sementara Laos akan berdepan Thailand yang muncul naib juara Kumpulan A pada satu lagi pertembungan.

“Vietnam dari segi ‘ball play’ mereka agak bagus tapi kita tidak harus memberi peluang dan ruang kepada pemain mereka….kita ada cuma satu hari dan berharap dengan tempoh tersebut semua pemain dapat berehat secukupnya,” kata beliau.

Sebagai rekod, skuad B-19 kebangsaan mempunyai rekod baik dalam tiga edisi terakhir kejohanan itu apabila menjuarai edisi 2018 dan muncul naib juara edisi 2017 dan 2019. – Bernama