BUTTERWORTH – Sekurang-kurangnya empat rumah di Kampung Jawa, Perai di sini mengalami kerosakan teruk selepas bumbung zink kediaman itu diterbangkan angin dalam kejadian ribut pada kira-kira 5 petang tadi.
Rumah kayu jenis berkembar itu bukan sahaja rosak di bahagian bumbung malah dua daripadanya turut mengalami kerosakan pada dinding luar.
Seorang penduduk, Asrul Affendi, 40, berkata ketika kejadian, tiga daripada empat rumah itu tidak berpenghuni manakala sebuah lagi didiami sebuah keluarga namun mereka tidak mengalami kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.
“Kejadian ribut itu berlaku sangat cepat, tidak sampai lima minit iaitu bermula angin kuat dan diikuti hujan lebat dan ribut…nasib baik tiga rumah yang rosak itu tiada penghuni dan keluarga yang tinggal di sebuah lagi rumah sempat selamatkan diri mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.
Video kejadian ribut berdurasi kira-kira 20 saat itu tular di media sejak petang tadi. Kejadian angin kuat dan hujan lebat turut melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang petang tadi.
Sementara itu, keluarga Muhamad Hafiz Abdul Halim, 35, yang sedang mengadakan majlis kenduri aqiqah dan kesyukuran di kampung itu turut berdepan detik cemas selepas khemah majlis diterbangkan ribut ke atas pokok kelapa yang berketinggian kira-kira 20 meter di hadapan rumah.
“Ketika kejadian, terdapat kira-kira 30 tetamu yang sedang menjamu selera…syukur Alhamdulillah kami semua selamat, tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa ataupun kecederaan di lokasi majlis,” katanya.
Menurutnya keadaan bertukar menjadi kelam kabut dan semua tetamu yang hadir termasuk ahli keluarga bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri ke dalam rumah.
“Kejadian ribut itu berlaku sekelip mata dan semua makanan serta minuman yang terdapat di bawah khemah turut jatuh berselerak dan selepas kejadian ribut, hujan lebat melanda kawasan kampung itu,” katanya. – Bernama