Ahli Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

KUALA NERUS – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali masih mengambil sikap ‘kunci mulut’ berhubung percaturan politik beliau termasuk perancangannya dalam pilihan raya umum akan datang.

Meskipun dilihat ‘mesra UMNO’ selepas mengumumkan keluar daripada Pas pada Mac lepas, beliau masih berteka-teki mengenai haluan perjuangan politiknya.

“Masuk UMNO atau tidak, itu jatuh nombor dua… yang penting sekarang, fokus saya untuk rakyat di Kuala Nerus.

“Saya sentiasa membantu sesiapa sahaja yang meminta pertolongan, macam hari ini saya berterima kasih kepada UMNO Terengganu dan Bahagian Kuala Nerus kerana mahu menghulur tangan bersama-sama dalam melaksanakan program untuk rakyat,” katanya kepada pemberita pada Program Korban Perdana #Keluarga Malaysia Kuala Nerus yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad pula berkata, program itu adalah manifestasi konsep penyatuan ummah demi kebaikan rakyat yang melangkau ideologi politik.

“UMNO Terengganu berharap lebih banyak program kerjasama sebegini akan dibuat di kawasan lain selepas ini. Kita nak berpolitik masa pilihan raya tak apalah, lepas tu kena utamakan rakyat,” katanya.

Khairuddin menyumbangkan 12 ekor lembu manakala UMNO Bahagian Kuala Nerus menyumbangkan 10 ekor dalam program ibadah korban perdana itu. – Bernama