MBK menyita sebuah jentera milik kontraktor utiliti di Jalan Mahkota, Kuantan, semalam.

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyita sebuah jentera milik kontraktor utiliti yang didapati melakukan kerja mengorek jalan tanpa kebenaran di Jalan Mahkota, di sini, semalam.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, kompaun dikeluarkan bagi kesalahan itu di bawah Seksyen Akta Jalan, Parit dan Bangunan ( Akta 133).

“Para kontraktor dan syarikat utiliti diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang dalam melaksanakan kerja-kerja utiliti bagi memastikan keselamatan awam terjaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi kesalahan berkaitan Sesyen 70A Akta 133 dan jika disabit kesalahan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Sementara itu, pihaknya juga menasihati agar pengguna jalan raya tidak meletakkan sebarang kenderaan disusur keluar jalan supaya tidak mengganggu pengguna lain.

Perbuatan segelintir pemandu meletakkan kenderaan berhampiran susur keluar di laluan susur keluar jalan akan menyukarkan pengguna jalan yang lain.

Justeru warden lalu lintas MBK akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

Kesalahan itu tertakluk di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan hukuman kompaun maksimum RM300,” katanya.

Manakala jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum sebanyak RM5,000 atau penjara tidak melebihi penjara lima tahun. – MalaysiaGazette