Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Tindakan tegas termasuk mengubah sistem bekalan akan diambil sekiranya masalah ketirisan minyak masak bersubsidi ke negara jiran terus berlaku, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, langkah tersebut antara yang dicadangkan selepas siasatan pasukan khas tersebut mendapat bukti yang cukup berkait ketirisan minyak masak bersubsidi yang cukup besar ke negara jiran.

Beliau berkata, ketirisan yang berlaku menyebabkan pekan-pekan di negara jiran itu yang terletak berhampiran sempadan negara tidak putus bekalan minyak masak bersubsidi yang dijual pada harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram.

“Siasatan mendapati minyak masak bersubsidi negara dijual berkarton-karton dalam kotak, bila datang dalam bentuk kotak yang belum dibuka ertinya datang terus dari kilang-kilang yang membuat pembungkusan.

“Hasil siasatan juga mendapati ada keterlibatan pihak tertentu. Saya tidak boleh umumkan di sini apa yang kita akan lakukan cuma saya nak katakan kita sedang bekerja keras, mereka yang terlibat jangan rasa boleh terlepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Korban Perdana dan Majlis Akikah 2022 Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, tindakan awal sudah diambil bagi menangani masalah ketirisan minyak masak bersubsidi itu.

“Kalau saya sebut secara terperincil gagallah kerja-kerja yang jawatankuasa ini sedang jalankan, memadai dengan saya kata kita sudah ada cukup maklumat. Tindakan sudahpun diambil tetapi ada beberapa lagi (tindakan) akan diambil.

“Nasihat saya, tolong hentikan sebab kalau sistem yang ada sekarang ini tidak juga dapat diperbaiki (sehingga berlaku ketirisan) saya akan mempertimbangkan merombak keseluruhan sistem bekalan minyak bersubsidi,” katanya.

Annuar berkata, pihaknya menyedari sekiranya rombakan terhadap sistem bekalan minyak bersubsidi dilakukan ia mungkin akan memberi kesan kepada perniagaan yang tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan, namun keperluan rakyat perlu lebih diutamakan.

“Ia mungkin akan menjejaskan peluang perniagaan bagi sesetengah orang tetapi kita tidak boleh mengutamakan beberapa peniaga (perlu) utamakan rakyat kerana rakyat di bawah tidak dapat bekalan sedangkan kerajaan belanja RM4 bilion.

“Saya faham mungkin ada peniaga yang akan terjejas kalau kita rombak keseluruhan sistem tetapi kalau itu perlu dilakukan, kita akan lakukan,” katanya.

Annuar berkata, ketika ini satu pelan tindakan bagi mengatasi masalah kekurangan minyak masak telah dikenal pasti oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Jadi dalam tempoh dua bulan ini, kita telah ada satu pelan tindakan untuk mengatasi sementara bekalan yang tidak cukup di (peringkat) peruncit.

“Langkah bagaimana tidak perlu diumumkan tetapi perlu stabilkan bekalan di kedai-kedai. Kedua-dua pihak penguat kuasa dan pasukan petugas tambahan sedang menjalankan tugas dan mereka akan melaporkan kepada saya,” katanya.

Annuar berkata, beliau akan bertemu 22 pengilang minyak masak pada minggu depan.

“Saya sendiri nak sampaikan mesej tegas mereka mesti bekerjasama kekang kebocoran dan ikut peraturan. Kalau usaha ini juga gagal macam saya katakan, saya tidak teragak-agak ubah keseluruhan sistem selagi minyak subsidi disalah guna, jawatankuasa yang saya pengerusikan akan bertindak tegas,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Penyeludioan ni lama sgt sejak berzaman lagi, boleh dikata semuA peringkat penguatkuasa atas sampai prebet. Mcmana nk tangkap nak hapus kalau yg diatas tu tumpang sekaki.

Comments are closed.