Datuk Seri Jamal Md Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diingatkan agar tidak menyalahgunakan kuasa dalam membuat keputusan berkaitan pindaan tarikh pemilihan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, RoS sepatutnya bertindak secara profesional dan menjadi pemantau perjalanan pertubuhan seperti mana termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966.

“RoS sepatutnya segera meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ia seperti mana yang dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO, Mesyuarat Agung Luar Biasa dan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, UMNO dilaporkan menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu.

Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember depan.

Berdasarkan dokumen pindaan yang dibentangkan pada sidang khas Perhimpunan Agung UMNO pada 15 Mei lalu, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut MT UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.

Menurut Jamal, RoS tiada hak untuk mencampuri urusan sesebuah parti sekiranya seluruh ahli parti itu sudah bersetuju dengan sesuatu pindaan dan ia tidak bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Jika RoS sengaja melengah-lengahkan keputusan pindaan atau menafikan keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli parti, ini bermakna RoS mengamalkan dwi standard dan mungkin ada agenda tidak baik terhadap UMNO.

“Ketua Pengarah RoS wajar diheret kemuka pengadilan jika beliau secara jelas melanggar etika tugas dan piagam perkhidmatan RoS seperti yang dinyatakan dalam Akta 355, semata-mata untuk menjayakan agenda politik pihak tertentu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tempoh tindakan RoS yang mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan sedangkan UMNO mematuhi perlembagaan di tiga peringkat pembuat keputusan,

“Dokumen tambahan turut dikemukakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pada bulan lalu.

Jamal membangkitkan isu itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Julai lalu bahawa RoS perlu membuat keputusan selewat-lewatnya pada 16 Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast