Pondok yang dibakar suspek di Taman Seri Astana, Sungai Petani, Kedah.

SUNGAI PETANI – Hanya kerana gagal menemui isteri selepas berlaku perselishan faham, seorang lelaki membakar sebuah pondok dalam kejadian di Taman Seri Astana di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 10.20 pagi itu, lelaki berusia 54 tahun terbabit dikatakan membawa sebilah parang dan mengamuk di hadapan kedai makan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dan hasil siasatan mendapati suspek mempunyai masalah rumah tangga dengan isteri sebelum wanita terbabit keluar rumah.

Keadaan MPV yang dipecahkan suspek.

“Suspek mencari isterinya di kawasan rumah mereka namun wanita berkenaan gagal ditemui menyebabkan dia berang dan membakar pondok belakang kedai makan yang diusahakan mereka bersama.

“Selain itu, suspek yang juga penganggur turut memecahkan cermin kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria milik orang awam yang diletakkan berdekatan kedai makan tersebut.

“Susulan itu, suspek melarikan diri ke kawasan semak di belakang pondok yang dibakarnya, sebelum polis yang menerima laporan ke lokasi dan menahannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek dikatakan membakar pondok yang terletak di bahagian belakang kedai makan yang diusahakan bersama isterinya.

Tambah beliau, hasil soal siasat awal, suspek mengaku mengamuk disebabkan mempunyai masalah rumah tangan dan isterinya telah bertindak keluar dari rumah.

“Siasatan lanjut berhubung ke sini masih dijalankan dan semakan pihak polis juga mendapati suspek memiliki 12 rekod kesalahan lampau termasuklah lapan berkaitan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” jelas Zaidy. – MalaysiaGazette