KUALA LUMPUR – Dakwaan Raja Petra Kamaruddin mengenai kewujudan perjanjian bertulis antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Perikatan Nasional (PN) dilihat sekadar propaganda murahan semata-mata.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor tidak menolak kemungkinan ia sengaja ditimbulkan demi meraih publisiti supaya pemimpin tertentu sentiasa dilihat relevan dalam lanskap politik.
“Walaupun propaganda ini sengaja dimainkan, saya lihat pelaksanaan dan adaptasi hala tuju Perdana Menteri masih kekal utuh menjiwai semangat juang UMNO sepenuhnya dan tidak sedikit pun terpesong dari landasan.
“Kini bukan masa sesuai untuk berdrama tak tentu hala, apatah lagi untuk mengambil kesempatan demi kepentingan tertentu kerana sekarang ini masanya untuk bekerja untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, dua helaian surat perjanjian persefahaman pembentukan kerajaan baharu PN atau dikenali Kerajaan Keluarga Malaysia ditularkan Raja Petra di Facebook miliknya semalam.
Berikutan pendedahan itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam juga mendesak Ismail Sabri dan Tan Sri Annuar Musa dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO kerana telah menipu berhubung kewujudan perjanjian bertulis dengan PN.
Pendedahan Raja Petra membuktikan Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu secara rasmi terlibat membelakangkan UMNO dalam menandatangani perjanjian dengan PN, dakwanya.
Dalam pada itu, Amin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Damansara mempertahankan Perdana Menteri yang sedang bekerja keras untuk rakyat.
“Seharusnya mereka ini perlu menjadi lebih konstruktif dalam memberikan pandangan serta idea kepada kerajaan, manalah tahu mungkin idea atau pandangan mampu memanfaatkan rakyat.
“Kita juga perlu berlaku adil dalam menilai, situasi untuk bangkit dari kesan pandemik, ini bukan satu perkara mudah dan ianya bukan kerja satu malam.
“Sungguhpun begitu, kerajaan Keluarga Malaysia perlu lebih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, walaupun hanya melibatkan percambahan minda serta sumbang saran semata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette